Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah itu bagi melancarkan usaha kerajaan untuk membawa pulang 161 rakyat Malaysia yang terkandas di pulau berkenaan.

“Kita akan membuat penempatan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana. Ini bagi melicinkan kerja-kerja mengenal pasti (rakyat Malaysia yang menjadi mangsa) dan membawa pulang mereka,” katanya kepada pemberita selepas menutup program Simulasi Bencana Gempa Bumi dan Tsunami di Sekolah dan Komuniti Kota Kuala Muda di sini, hari ini.

Yang turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Akhbar hari ini melaporkan Lambok sekali lagi digegarkan dengan gempa bumi yang me­nyaksikan sekurang-kurangnya 98 orang terbunuh dan 236 lagi cedera selain banyak kemusnahan besar berlaku di kawasan pulau berkenaan.

Kedutaan Malaysia di Jakarta juga telah mengesahkan seramai 161 rakyat Malaysia yang berada di beberapa lokasi di Lombok berada dalam keadaan selamat.

Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah memberitahu, kerajaan masih lagi menunggu permohonan daripada kerajaan Indonesia sebelum menghantar bantuan ke negara tersebut.

“Kita memang mahu menghantar bantuan tapi mereka (kerajaan Indonesia) masih belum buat apa-apa permohonan untuk Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) bantu di Lambok.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada mangsa ekoran gempa bumi kali kedua yang berlaku. Saya kira, kita haruslah belajar daripada pengalaman supaya kita turut siap siaga (kemungkinan bencana) memandangkan jarak Malaysia dan Lombok adalah dekat,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar meluluskan RM200,000 untuk penambahbaikan laluan evakuasi di Sekolah Kebangsaan Kuala Muda.

Selain itu, pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Muda juga akan ditambah baik.