Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun mengesahkan arahan itu dalam akaun Twitternya.

"Batu-batu dan bongkah banyak yang jatuh akibat gegaran itu," katanya.

Pondok-pondok pendaki di Panar Laban dan Gunting Lagadan rosak teruk tetapi tiada laporan mengenai kecederaan.

"Yang menyedihkan ikon Telinga Keldai di gunung itu turut rosak teruk, menunggu pengesahan," katanya dalam Tweet itu.

Masidi berkata, para penyelamat dalam perjalanan ke Gunung Kinabalu kerana terdapat laporan mengatakan ada pendaki yang terkandas dan cedera berhampiran gunung itu.

Gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter melanda Ranau di Sabah pada pukul 7.15 pagi.

Menurut Pusat Gempa Bumi Dan Tsunami Nasional gegaran dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Ranau, Tambun, Tuaran, Pedalaman, Kota Kinabalu dan Kota Belud.- BERNAMA