Gegaran yang berlaku pada pukul 6.46 waktu Malaysia itu turut dirasai di Bali.

Kementerian Luar memberitahu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) juga telah mengeluarkan arahan tsunami.

“Kita juga telah meminta rakyat Malaysia yang berada berhampiran kepulauan itu supaya tidak berada berhampiran pesisiran pantai sehingga arahan seterusnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehingga kini, kenyataan itu memberitahu, pihak penguasa tempatan masih belum menilai jumlah kerugian akibat kerosakan serta mereka yang terkesan akibat gegaran itu.

“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta juga sedang menyelaras tindakan bersama Polis Republik Indonesia (Polri) dan Badan Nasional Penanggulan Bencara (BNPB) untuk mengesan rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana itu,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, pihak kedutaan juga sedang menghubungi rakyat Malaysia yang mendaftar masuk ke kepulauan itu sejak gempa bumi pertama pada 29 Julai lalu bagi memastikan keselamatan mereka.

Ekoran insiden itu, Kementerian Luar meminta rakyat Malaysia yang kini berada di Lombok dan memerlukan bantuan konsular supaya menghubungi bilik operasi di talian +62215224947 atau +62 8138081 3036 (Whatsapp), emel kepada [email protected] atau [email protected] dengan segera. -UTUSAN ONLINE