Abang Johari Tun Abang Openg
ABANG JOHARI

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg berkata, aplikasi terbaharu secara percuma yang disediakan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) itu turut menawarkan pelbagai informasi semasa berkaitan cuaca harian yang disalurkan secara terus dari jabatan tersebut.

Beliau berkata, antara maklumat disediakan oleh aplikasi myCuaca termasuk ramalan cuaca harian mengikut bandar dan negeri.

"Aplikasi ini turut memaparkan amaran cuaca untuk hujan lebat, imej satelit cuaca dan membolehkan pengguna melihat maklumat cuaca berkaitan setiap hari.

"Kemudahan ini membolehkan penduduk di Sarawak, boleh bersiap sedia jika berlakunya ramalan hujan lebat luar biasa di tempat masing-masing," katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Mengulas mengenai situasi banjir di bahagaian utara negeri ini, Abang Johari memberitahu, penduduk yang menetap di Miri, Limbang dan Lawas perlu bersedia sepenuhnya untuk menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, meskipun banjir di kebanyakan kawasan sudah surut ketika ini, namun berdasarkan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, wilayah utara Sarawak dijangka mencatatkan taburan hujan tinggi secara berterusan dalam tempoh empat hingga lima hari akan datang.

Katanya, jabatan itu meramalkan hujan lebat yang berterusan selama tiga hari ketika musim monsun timur laut ini boleh mengakibatkan banjir.

"Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang, risiko keadaan banjir akan menjadi lebih buruk," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, kesemua  anggota pasukan keselamatan di Sarawak telah diletakkan dalam keadaan siap siaga sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir yang buruk di bahagian utara.

Katanya, persiapan itu termasuk memastikan semua keperluan logistik seperti bot, kenderaan pengangkutan dan bekalan makanan dalam keadaan baik serta mencukupi.

Selain itu, tambahnya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan

RM100 juta pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai projek tebatan banjir di kawasan berisiko dilanda bencana itu. - UTUSAN ONLINE