Kejadian tersebut telah menyebabkan kesesakan lalu lintas tetapi dapat diatasi dengan segera oleh pihak polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian pada pukul 2.45 petang itu berlaku semasa pemandu lori treler terbabit datang dari Jalan Imbi ke Jalan Maharajalela.

Menurutnya, gegelung itu diambil di projek Menara Pudu di hadapan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk dihantar ke stor simpanan di Batang Kali, Selangor.

“Kerja mengalihkan dan mengangkat semula gegelung selesai pada pukul 4.30 petang dan pemandu diarahkan tidak meneruskan perjalanan kerana jalan sesak menghampiri waktu puncak.

“Lori tersebut kemudian diletakkan di tepi Jalan Maharajalela,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, tiada mangsa, kerosakan kenderaan dan harta awam terlibat dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, pemandu tersebut telah dikenakan saman di bawah Rule 19 LN 166/59 . - UTUSAN ONLINE