Bagaimanapun, bacaan di kawasan enjin pemprosesan kiub ais masih lagi berada pada tahap tinggi iaitu 350 Part Per Million(PPM) akibat daripada kebocoran gas amonia tersebut.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon Shah Alam, Yusri Basri berkata, setakat ini tiga anggota daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) sedang berusaha untuk menyahcemar kuantiti gas amonia di dalam kawasan kebocoran tersebut.

Namun katanya, pihaknya masih lagi tidak membenarkan penduduk setempat melalui kawasan tersebut agar proses meneutralkan kandungan gas amonia dalam udara berjalan lancar.

“Kuantiti gas amonia dalam kawasan kilang agak tinggi iaitu 350PPM, namun kawasan persekitaran kira-kira 300meter berada dalam keadaan normal iaitu 5PPM.

“Kita menjangkakan operasi menyahcemar gas amonia akan selesai dalam masa tiga jam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati keadaan lalu lintas dikawal ketat oleh polis dan bomba bertujuan memastikan penduduk setempat tidak melalui kawasan tersebut.

Malah, sebuah sekolah iaitu Sekolah Menengah Jenis Cina(SMJC) Chung Hwa yang hanya berada kira-kira 150 meter dari kawasan kilang telah ditutup setelah mendapat nasihat daripada pihak bomba.

Dalam kejadian awal pagi tadi, dua pekerja warga asing di kilang membuat ais, Everest Ice maut selepas dilaporkan terhidu gas amonia yang bocor, manakala 18 lagi dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.- UTUSAN ONLINE