Mengingati peristiwa itu, baik dalam kalangan yang terselamat daripada tragedi tersebut mahupun yang hanya mende­ngarnya dari jauh, tragedi itu nyata banyak memberi keinsafan kepada semua.

Maka, bukan sesuatu yang menghairankan apabila Galeri Tsunami Kota Kuala Muda di sini semakin menjadi tarikan ramai pengunjung sejak dibuka pada 24 Mac tahun lalu.

Pengunjung berpeluang melihat dari dekat gambar-gambar tentang peristiwa tsunami yang berlaku di sekitar kampung itu pada 26 Disember 2004 lalu.

Dalam tragedi berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari di kampung itu, seramai 12 penduduk tempatan maut setelah dipukul ombak besar yang muncul secara tiba-tiba dari laut.

Penyambut tetamu di Galeri Tsunami Kota Kuala Muda, Abdul Majid Kassim, 62, berkata, bila­ngan pengunjung ke galeri itu semakin bertambah dari semasa ke semasa kerana rata-rata daripada mereka mahu melihat sendiri gambar-gambar mengenai tsunami yang dipamerkan di situ.

Katanya, ada antara pengunjung tiba-tiba menangis dalam galeri selepas melihat gambar-gambar menyayat hati termasuk mayat-mayat yang ditemukan terapung, runtuhan rumah dan kereta serta serpihan bangunan yang dihanyutkan ombak kuat itu.

“Sesiapa sahaja pasti sedih dan terharu apabila berada dalam keadaan sedemikian, sebagai petugas dan penduduk tempatan, saya sekadar memberi penerangan kepada pengunjung tentang apa yang berlaku selepas kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang pengunjung dari Banting, Selangor, Dr. Ghazali Lateh, 55, berkata, langkah membina galeri kisah tsunami itu adalah baik sekali dan ia boleh dijadikan kenangan kepada setiap pengunjung.

“Isteri saya, Siti Salwah Mohd. Yunus, 55, juga begitu terharu apabila melihat pelbagai gambar ada dalam galeri itu. Sesungguhnya, sesiapa sahaja yang datang melihat gambar yang ada dalam galeri itu akan berasa begitu terkesan,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi Osman, 45, dari Ipoh berkata, dia mengambil peluang membuat lawatan bersama keluarga untuk melihat dari dekat gambar berkaitan tsunami di daerah Kuala Muda sempena ulang tahun tragedi pada Disember ini.

“Kesedihan amat terasa dan saya amat berpuas hati dengan susunan gambar yang disediakan diikuti dengan tayangan gambar selama sejam peristiwa tsunami yang berlaku serentak pada hari itu,” katanya.

Seorang pengunjung dari Dungun, Terengganu, Rosli Jusuh, 54, pula mengakui tragedi yang turut mengorbankan rakyat tempatan itu begitu menyayat hati dan sangat sedih melihatkan kesan-kesan yang ditinggalkan selepas rempuhan ombak besar tersebut.

“Saya membawa 20 anggota keluarga saya untuk melawat galeri ini,” katanya.