Ketika kejadian pada pukul 1.20 pagi itu, difahamkan kereta model F458 bernilai lebih RM1.2 juta itu tiba-tiba mengeluarkan asap tebal di bahagian hadapan enjin sehingga memaksa pemandunya memberhentikan kereta berkenaan di bahu jalan.

Difahamkan, api kemudian mula menyala lalu merebak sehingga ke bahagian pemandu. Mangsa yang menyedari keadaan itu lebih awal bergegas keluar dari kenderaan dan menelefon pihak bomba.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, seramai sembilan anggota JBPM diarahkan ke lokasi bersama sebuah jentera pada pukul 1.20 pagi.

“Semasa tiba di lokasi didapati memang benar terdapat sebuah kereta sedang terbakar dan api sedang marak di bahagian hadapan.

“Anggota yang bertugas berjaya memadamkan kebakaran yang sedang marak itu dalam tempoh 10 minit," katanya.

Norizham memberitahu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu dan punca sebenar kebakaran masih lagi dalam siasatan.

“Difahamkan kereta itu dipercayai terbakar ketika sedang dipandu di lebuh raya berkenaan.

“Kebakaran tidak membabitkan mangsa,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE