Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Tiong Ling Hii berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 12.30 te­ngah malam.

Katanya, seramai lapan penumpang dan empat buah lori sarat dengan muatan buah sawit menaiki feri berkenaan.

“Kita difahamkan mereka dari pangkalan feri ladang Sungai Pandan menuju ke jeti Sungai Pandan.

“Bagaimanapun, feri yang dinaiki mereka tiba-tiba terbalik lalu karam sebelum sampai ke seberang,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tujuh penumpang berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.

“Seorang lagi penumpang dikenali sebagai Mohd. Dzulhiqmi Delphen, 23, berasal dari Lahad Datu, Sabah, pula masih lagi hilang dalam tragedi ini.

“Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12 tengah malam tadi,” ujarnya.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke tempat kejadian pagi tadi.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan de­ngan kerjasama polis de­ngan bantuan helikopter, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan penduduk kampung.

“Fokus pencarian di sekitar kawasan kejadian dalam radius 30 hingga 50 meter dari lokasi feri berkenaan karam,” jelasnya.

Ling Hii berkata, mereka menggunakan teknik pencari­an di kawasan permukaan su­ngai namun belum menemukan mangsa.