Pengerusi Jawatankuasa Per­tanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama ne­geri, Azman Nasrudin berkata, arahan penggantungan itu bagi membolehkan pihak Jabatan Laut melakukan siasatan terperinci untuk mencari punca sebenar kebakaran.

“Ini merupakan kali kedua syarikat itu digantung operasinya dan siasatan forensik mengambil masa tiga hingga empat hari. Kita juga akan lihat sama ada syarikat itu mengikut prosedur

AZMAN NASRUDIN
AZMAN NASRUDIN 

operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya da­lam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, kali pertama operasi syarikat itu digantung selama sebulan pada Oktober tahun lalu selepas ferinya ter­kandas selama lapan jam di tengah laut ketika dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.

“Kita (kerajaan negeri) me­ngambil kira semua laporan dan aduan yang dibuat oleh penum­pang terhadap feri itu termasuk terhidu bau minyak enjin dan kalau dakwaan itu benar, kita tidak teragak-agak untuk sarankan kepada Kementerian Pengangkutan agar menghentikan terus operasi syarikat itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang semalam, 52 penum­pang feri Dragon Star 1 berhadapan detik cemas selepas feri itu terbakar sebaik bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi menuju ke Kuala Perlis sebelum diselamatkan oleh bot dan feri lain yang berada berdekatan.

Ditanya mengenai dakwaan penumpang bahawa jaket ke­selamatan tidak mencukupi semasa kejadian, Azman berkata, perkara itu tidak benar kerana semua jaket keselamatan sudah diletakkan di bawah tempat duduk penumpang.

Sementara itu, Pegawai Laut Jabatan Laut Langkawi, Ghadzali Ahmad berkata, pihaknya juga telah melakukan pemeriksaan keselamatan secara berkala terhadap feri yang berusia 28 tahun itu, sebelum membenarkan feri tersebut membawa penumpang.

“Sebelum feri berlepas, kita tidak menerima sebarang makluman bahawa feri tersebut berada dalam keadaan tidak memuaskan dan pemeriksaan dokumentasi juga dilakukan dan feri berada dalam keadaan baik untuk berlepas,” katanya. – BERNAMA