Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Rizal Buang berkata, pemantauan pihaknya di lokasi yang dijangka terjejas setakat pukul 7 pagi ini mendapati keadaan terkawal dan tiada limpahan air laut berlaku. 

"Lokasi yang dipantau ialah di Kampung Tok Muda; Batu 4, Jalan Kapar; Batu 5, Jalan Kapar dan Sementa.

"Kita telah menempatkan anggota kita di kawasan berisiko itu seawal pukul 4 pagi tadi sebagi langkah berjaga-jaga dan setakat pukul 7 pagi ini, tiada limpahan air laut dikesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Fenomena air laut pasang besar diramalkan akan berlaku bermula hari ini sehingga 11 Oktober di kawasan persisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.6 meter.

Lima daerah di Selangor iaitu Klang, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berisiko dilanda banjir berikutan fenomena itu dengan paras air laut di ramal akan berada pada paras tertinggi. - UTUSAN ONLINE