Sehingga malam ini, 69 mangsa daripada 24 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Pasangan, Kampung Kuantan di Bestari Jaya.

Ketua Balai Bomba Bestari Jaya, Sahidallah Osman berkata, malam ini berlaku penambahan empat mangsa berbanding semalam selepas rumah mereka ditenggelami banjir akibat air pasang dan hujan lebat petang tadi.

"Sehingga malam ini fenomena air pasang besar masih belum pulih dan disebabkan hujan lebat, beberapa lagi rumah penduduk ditenggelami banjir," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, untuk keselesaan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan itu, mereka di tempat di enam buah bilik darjah, manakala dewan sekolah dijadikan dewan makan.

Khamis lalu, beberapa kawasan di Sabak Bernam dan Kuala Selangor dilanda banjir sedalam 0.5 meter berikutan fenomena air pasang besar.

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Nelayan Bagan Nakhoda Omar dan Sungai Lang di Sabak Bernam serta Kampung Kuantan, Kampung Tanjong Buah dan Kampung Tanjung Siam di Kuala Selangor.