Sepupunya, Nur Fakhruddin Mohd. Idrus, 27, berkata, buat masa ini Ezzudin, 10, yang cedera parah dalam kemalangan ngeri itu masih belum sedarkan diri selepas mengalami pelbagai kece­deraan dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dekat sini.

“Saya dimaklumkan sepupu saya telah menjalani dua hingga tiga pembedahan di bahagian rahang. Malah pada hari ini dia (Ezzudin) turut menjalani pembedahan di bahagian tengkorak memandangkan ada kemungkinan pendarahan di bahagian otak.

“Buat masa ini dia ditemani saudara maranya di hospital kerana keluarganya menguruskan pengebumian jenazah ayahnya di Permatang Pauh, Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari semalam, treler yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun itu bergesel dengan Perodua Myvi lalu merempuh kereta Nissan Almera sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bergesel pula dengan bas per­siaran.

Susulan daripada itu, tiga kenderaan lain iaitu BMW, Toyota Vellfire dan Perodua Alza di laluan bertentangan tidak dapat mengelak treler tersebut, menyebabkan empat maut.