Kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu turut mengakibatkan lima buah kilang lain yang berada di sekitar kawasan tersebut turut mengalami kerosakan teruk akibat terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, tujuh buah jentera dari empat buah balai bomba dengan kekuatan 40 anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, api sedang marak dan kebakaran itu bermula dari kilang petrokimia sebelum merebak ke lima buah kilang lain.

"Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang merupakan pekerja kilang tersebut melecur hampir 80 peratus. Mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menaiki Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) untuk rawatan lanjut.

"Kebakaran tersebut mengakibatkan kilang petrokimia itu musnah sebanyak 95 peratus manakala lapan kenderaan iaitu tiga buah motosikal dan lima buah kereta hangus terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Menurut beliau, empat buah balai yang terlibat dalam operasi tersebut ialah dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ipoh, Simpang Pulai dan Meru Raya selain dibantu bomba sukarela, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan polis.

"Kami masih menyiasat punca kejadian termasuk jumlah sebenar kerugian. Api berjaya dikawal pada pukul 4.35 petang," katanya. - UTUSAN ONLINE