Kenderaan jenis Land Rover yang dinaiki enam polis wanita pasukan Light Strike Force yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Mahameru, Kuala Lumpur pagi ini.

Sumber memberitahu, kesemua anggota itu tercampak keluar dari Land Rover tersebut setelah kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas lalu terbalik dengan keempat tayar ke atas.

“Kejadian berlaku pada pukul 8.50 pagi apabila semua anggota tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi menjalani latihan.

“Mereka yang terlibat mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambah sumber, kemalangan itu berlaku apabila pemandu Land Rover terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan terbalik.

Dalam pada itu Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan akan dilakukan.

Menurutnya, kemalangan tersebut tidak membabitkan pihak lain dan keadaan trafik di jalan tersebut menjadi sesak tetapi terkawal. - UTUSAN ONLINE