Nahas pada pukul 5.36 pagi itu mengorbankan penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ, Rafiq Hafizi Rahimi, 21, dan pembonceng, Mohamad Syarif Mohamad Said, 30, di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal Kawasaki Ninja, Muhsin Muhammad Wazer, 23, dan Mohammad Hafiz Jabon, 33, pula meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tambi berkata, saksi kejadian iaitu pemandu kereta jenis Proton Iswara berusia 33 tahun memberitahu, kedua-dua motosikal itu datang dari arah Simpang Pulai menghala ke Ipoh.

Menurutnya, apabila sampai di lokasi kemalangan, dua motosikal tersebut bergesel sesama sendiri dan dipercayai ditunggang dengan laju.

“Dua motosikal iaitu Kawasaki Ninja dan Yamaha RXZ itu kemudiannya terbabas dan merempuh bahagian belakang kereta Proton Iswara yang berada di hadapan dari arah yang sama.

“Pelanggaran tersebut menga­kibatkan motosikal Yamaha RXZ melambung dan jatuh ke jalan kecil di tepi lebuh raya. Penunggang dan pembonceng motosikal itu maut di tempat kejadian,” katanya.

Mohd. Ali memberitahu, ma­yat keempat-empat mangsa ter­sebut dibawa ke HRPB untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.