Kesemua mangsa iaitu Arnei Fetalvero Viana, 40; Chfmate Josefph Aque, 30; Roger Chaves Cheif, 49, dan Thomas Taboso, 42, diselamatkan pada pukul 1 petang tadi selepas hanyut lebih 100 kilometer sejak Ahad lalu sehingga ke perairan negara.

Mangsa yang melecur teruk di kesemua bahagian badan difahamkan hanyut selepas kapal pukat tunda yang digunakan ketika menangkap ikan rosak dan pecah akibat dipukul ribut.

Komander ATB 2, Brig. Jeneral Zarondin Md. Amin berkata, kesemua mangsa ditemukan di Pulau Billean ketika anggota keselamatan itu sedang melakukan rondaan.

“Mereka ditemukan dalam keadaan terapung selepas beberapa hari dihanyutkan dan mangsa hanya berpaut pada serpihan kapal.

“Sehubungan itu, selepas dibawa naik ke pos penempatan ATB 2, anggota tentera bertugas segera memberikan rawatan perubatan dan bantuan makanan serta minuman kepada mangsa yang keletihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zarondin, mangsa tersebut memaklumkan terdapat 16 lagi kru bot yang menaiki kapal yang sama ketika sedang menangkap ikan masih gagal ditemukan.

Difahamkan, kesemua mangsa akan diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina esok selepas maklumat mereka diambil dan selesai menerima rawatan. - UTUSAN ONLINE