Nahas pada pukul 1 petang itu mengorbankan pemandu kereta pacuan empat roda jenis Nissan Frontier, Rosli Zakaria, 54, dan anak lelakinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU), Muhamad Syafiq, 23.

Turut terkorban da­lam kemalangan tersebut ialah penumpang kereta jenis Audi, Che Wan Teh Abdul Aziz, 54, dan anak lelakinya, Muhammad Khairul Khawrizmie Azizan, 17.

Kesemua mangsa meninggal di tem­pat kejadian.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ismail Che Isa berkata, kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu kereta Nissan Frontier dan Perodua Kenari yang dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli manakala Audi pula dari arah bertentangan.

Menurutnya, siasa­tan di tempat keja­dian mendapati ke­ma­langan berlaku di laluan selekoh menuruni bukit apabila kereta Audi yang dipandu Azizan Desa, 60, bergesel dengan Perodua Kenari yang dipandu anak Rosli, Anis Syafika, 35.

“Perlanggaran itu menyebabkan kereta Perodua Kenari itu berpusing dan terbabas ke kanan jalan arah ke Jeli manakala kereta Audi pula masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung secara hadapan dengan ke­reta dipandu Rosli.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta Nissan Frontier serta dua penumpang kereta Audi maut di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Ismail memberi­ta­hu, dalam nahas tersebut, dua yang parah ialah Azizan dan isteri Rosli, Che [email protected]­riam Che Awang, 45, yang telah dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, mereka yang cedera ringan pula ialah empat anak Rosli dan seorang anak Azizan masing-masing berusia lingkungan 14 hingga 35 tahun yang diberi rawatan pesakit luar di Hospital Gerik.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.