Masih terngiang-ngiang di telinga Mastura Yusoff, 37, rayuan adik bongsunya, Mohammad Syahril Asmadi Yusoff, 22, yang merupakan salah seorang pemancing yang hilang selepas bot dinaiki pemuda itu bersama rakannya, Mohd. Sabrie Kamaruddin, 22, karam di perairan Dungun petang kelmarin.

Lantas, dia berkali-kali meminta Mohammad Syahril Asmadi agar terus menggagahkan diri dan tidak berputus asas sambil memberitahu akan memaklumkan segera kejadian tersebut kepada pasukan penyelamat.

“Panggilan pertama saya terima pada pukul 2.30 petang. Adik beritahu bot mereka terbalik di muara Kuala Dungun, dan pada masa itu masing-masing hanya berpaut pada tong ikan berwarna hijau.

“Kemudian pada pukul 3.30 petang, saya terima lagi panggilan. Rakan adik, Mohd. Sabrie memang sudah biasa ke laut jadi berdasarkan persekitaran itu, dia maklumkan mereka berada di Bukit Pelanduk, Kuala Abang dan seterusnya di Jambu Bongkok,” katanya yang masih menaruh harapan adiknya selamat, ketika ditemui pemberita di Jeti Marang di sini petang ini.

Dalam kejadian itu, bot yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai sedang memasuki muara Kuala Dungun sebelum karam dipukul ombak dan mereka dikatakan sempat berpaut pada tong plastik namun dihanyutkan arus.

Mastura berkata, kali terakhir mereka bertemu semasa Ramadan lalu ketika berbuka puasa bersama-sama.

“Kami memang rapat kerana dia tinggal bersama saya sebelum memilih untuk hidup berdikari sejak lapan bulan lalu. Sebelum Aidilfitri, dia ada menghubungi saya dan tiba-tiba sahaja meminta maaf.

“Dia meminta maaf kerana tidak dapat beraya bersama. Dia juga minta maaf atas segala silap salah yang pernah dilakukan. Karakternya benar-benar berubah dan disedari ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Sementara itu, gerakan mencari dan menyelamat dua pemancing yang dilaporkan hilang di perairan Dungun kelmarin kini telah mencapai 240 batu nautika persegi dan akan diperluaskan sehingga ke perairan Pulau Bidong Laut dan Pulau Redang dekat sini.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Maritim Timur dalam satu kenyataannya di sini memberitahu, keadaan cuaca dengan laut yang bergelora hingga mencapai ketinggian 2.5 meter dan angin Monsun Barat Daya serta ribut petir pada waktu petang dan malam turut menyukarkan operasi mencari mangsa.

“Tindakan segera telah diambil oleh Maritim Malaysia DM9 Kuala Terengganu dengan menghantar dua buah aset iaitu bot maritim, BM Pengawal 48 dan BM Kilat 27 untuk operasi mencari dan menyelamat,” kata kenyataan itu.

Katanya, disebabkan mangsa masih belum ditemui, jumlah aset untuk operasi mencari dan menyelamat telah ditambah iaitu melibatkan KM Sebatik, BM Pengawal 48, BM Kilat 27, Pesawat Udara CL 415 (Maritim Malaysia), Bot CB90 dan KD Handalan (milik Tentera Laut Diraja Malaysia) serta enam bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).