Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu dikatakan berlaku ketika mangsa mahu mengambil wuduk untuk solat sunat dari telaga yang terletak di kawasan dapur rumahnya itu.

Difahamkan, mangsa yang terperangkap di dalam perigi tersebut selama empat jam sebelum disedari oleh isterinya yang berusia 80 tahun ketika mahu mengambil air kira-kira pukul 8 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.42 pagi.

Katanya, dia yang mengetuai kerja-kerja menyelamat bersama 10 orang anggota bagi menarik keluar mangsa yang terjatuh ke dalam telaga sedalam 7.62 meter itu.

"Ketika bomba tiba di rumah tersebut, terdapat seorang lelaki warga emas terjatuh ke dalam telaga yang berada di kawasan dapur ketika cuba mengambil air dari telaga berkenaan.

"Pasukan bomba berjaya menyelamatkan mangsa dengan menggunakan teknik sistem takal dan berjaya diangkat ke atas.

"Mangsa kini berada dalam keadaan stabil selepas diberi rawatan awal Unit EMRS (Emergency Medical Rescue Services) bomba sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut," katanya, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE