Nahas pada kira-kira pukul 9 pagi itu mengakibatkan kereta berke­naan remuk dan penghadang jalan menembusi kende­raan ber­kenaan yang mana empat mangsa tersepit di dalamnya.

Mereka yang maut ialah Azian Abdullah, 50, yang duduk di kerusi penumpang hadapan dan tiga anaknya yang merupakan penum­pang belakang iaitu Fatin Najwa Mazlan, 27, Fatin Nur Adriana, 15, dan Mohamad Danish Najmi, 10.

Dua lagi anak Azian iaitu Mohd. Shahrul Ikram, 20, yang memandu kereta Perodua Myvi itu dan Fatin Nur Athirah, 19, ce­dera parah.

Kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Gemilang Cheneh di Kemaman, Terengganu selepas ke Kuala Lumpur sejak kelmarin untuk membeli keperluan Hari Raya Aidilfitri termasuk baju raya.

Ketua Polis daerah, Deputi Norzamri Abd. Rahman berkata, berdasarkan maklumat, keluarga berkenaan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh dekat sini sebelum meneruskan perjalanan pada kira-kira pukul 4.45 pagi ini ke Kemaman.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu kereta itu dipercayai mengantuk dan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh penghadang jalan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Norzamri, semua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala dua yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan.

Ujarnya, siasatan mendapati kawasan kejadian merupakan jalan lurus berturap dan laluan dua lorong satu hala serta terdapat lorong kecemasan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.