Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, keempat-empat mangsa dikatakan dalam perjalanan ke arah Kuala Lumpur sebelum sebuah kereta jenis Toyota Camry dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun dari arah yang sama secara tiba-tiba melanggar bahagian belakang kenderaan mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Md. Asri A. Wahab yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 1.20 petang tadi.

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Camry yang berada di lorong kanan ketika itu cuba mengelak satu objek di atas jalan. Namun tindakan pemandu terbabit telah menyebabkan kereta yang dipandunya itu melanggar bahagian belakang Perodua Myvi yang berada lorong kiri.

"Akibat pelanggaran itu, Perodua Myvi yang dinaiki empat sekeluarga itu hilang kawalan sebelum terbabas di kiri bahu jalan dan terjunam ke dalam parit berhampiran," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Md. Asri, pemandu Perodua Myvi berusia 45 tahun didapati mengalami kecederaan di tangan kiri manakala isterinya berusia 41 tahun mengalami pendarahan di kepala.

Sementara itu, dua anak mangsa masing-masing berusia 12 dan 6 tahun termasuk pemandu Toyota Camry tersebut hanya mengalami luka kecil pada anggota badan.

Kesemua mangsa katanya telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut manakala kes itu disiasat di bawah Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE