Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, seorang lelaki yang juga penunggang motosikal berusia 29 tahun bersama tiga anaknya berusia enam hingga dua tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelbagai kecederaan.

Sementara, isteri mangsa yang berusia 29 tahun dikejarkan ke Hospital Tambunan selepas dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Ahmad Jawila berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal dinaiki lima beranak itu dalam perjalanan dari arah Keningau menuju ke pekan Tambunan.

Menurutnya, siasatan juga mendapati ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai menunggang laju gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang sebuah lori kargo yang rosak di tepi jalan.

“Ketika kejadian kesemua mangsa tidak memakai topi keledar dan penunggang motosikal itu juga disyaki menunggang dalam keadaan laju berdasarkan impak perlanggaran yang kuat.

“Akibat rempuhan itu empat sekeluarga maut di tempat kejadian, manakala isteri mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Tambunan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ahmad, hasil siasatan awal juga mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang kerana gagal mengawal motosikal hingga merempuh belakang lori yang rosak di bahu jalan.

Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE