Menurut sumber, kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika mangsa berusia 22 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas mengambil ketiga-tiga adiknya berusia di antara tujuh hingga 14 tahun dari sebuah sekolah berhampiran.

Ketika kejadian, kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Wira difahamkan dari arah Parit Baru menghala ke Bagan Nakhoda Omar itu.

Pemandu kereta terbabit dikatakan membelok ke kanan untuk menuju masuk ke rumahnya sebelum sebuah kereta jenis Proton Waja dari arah yang sama secara tiba-tiba melanggar bahagian belakang.

Ekoran pelanggaran itu, kereta yang dinaiki mangsa kemudiannya terbabas ke dalam parit berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Mohd. Saufi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.07 petang sebelum sampai ke lokasi kejadian kira-kita tujuh minit kemudian bersama sebuah jentera FRT serta sembilan anggota termasuk pegawai.

"Sebaik sampai, kita didapati mangsa iaitu pemandu Proton Wira masih berada di tempat duduk pemandu akibat tersepit manakala tiga kanak-kanak telah dikeluarkan oleh orang ramai.

"Kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk keluarkan pemandu tersebut sebelum kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini. - UTUSAN ONLINE