Muhammad Aideed Mohd. Roslan, 17, serta sepupunya, Muhammad Emdy Syazwan Md. Norrizan, 17, maut selepas motosikal jenis Honda TS150 ditunggang mereka terlanggar seekor lembu sebelum terjatuh di atas jalan dan digilis sebuah kereta kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Muhammad Aideed merupakan pelajar Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Panchor Perdana lahir pada 20 Jun 2001 manakala Muhammad Emdy Syazwan yang menuntut di Kolej Vokasional Bachok lahir pada 17 Jun 2001.

Difahamkan, Muhammad Aideed sedang menduduki pe­periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika nahas, motosikal ditunggang Muhammad Aideed dengan Muhammad Emdy Syazwan sebagai pembonceng datang dari arah Sabak menuju ke Pengkalan Chepa.

“Mereka terlanggar seekor lembu di tengah jalan lalu terjatuh di laluan bertentangan. Sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang pesara lelaki berusia 61 tahun gagal mengelak mangsa berikutan jarak yang terlalu dekat lalu menggilis kedua-dua mereka.

“Dua mangsa ter­babit mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, mayat dua mangsa tersebut dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui dua remaja itu terbabit dalam kemalangan pada pukul 10.30 malam.

“Mereka berdua memang rapat sejak kecil malah kalau tidak silap, hari lahir pun pada bulan yang sama iaitu Jun. Tidak sangka, mereka ‘pergi’ pun bersama,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HUSM Kubang Kerian hari ini.