MUHAMMAD SHAH FARIS SHAHRIN
MUHAMMAD SHAH FARIS SHAHRIN

Mayat Muhammad Shah Faris Shahrin dan Azfar Mohammad yang masing-ma­sing berusia 22 tahun dan berasal dari Pandamaran, Klang, Selangor ditemukan kira-kira pukul 8 pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejak semalam.

Seorang rakan mangsa, Muhammad Saiful Ikhmal Hamdan, 22, berkata, mereka yang pertama kali bercuti di kawasan air terjun ber­kenaan bertolak ke situ pada pukul 7 pagi semalam dari Pandamaran de­ngan menai­ki dua buah ke­­reta.

Katanya, mereka melalui perjalanan meredah hutan dan pendakian selama kira-kira tiga jam sebelum tiba di tingkat tujuh air terjun tersebut.

“Kira-kira pukul 3 petang, saya lihat Muhammad Shah Faris bere­nang di kawasan kolam air terjun sebelum tiba-tiba dia kelihatan terkapai-kapai dan meminta pertolo­ngan.

“Kami cuba membantunya namun gagal sebelum Azfar terjun dan cuba menyelamatkannya. Bagaimanapun Azfar juga tidak tim­bul,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Muhammad Saiful Ikhmal, dia kemudian menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan kejadian itu selepas keluar dari kawasan perkelahan mereka.

Katanya, seorang lagi rakan mereka juga nyaris lemas ketika cuba menyelamatkan dua mang­sa tersebut tetapi sempat ditarik keluar oleh beberapa rakan lain.

Sementara itu, Timbalan Pe­ngarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Sani Harul berkata, mayat Azfar ditemukan pada kedalaman 10 meter manakala Shah Faris kedalaman 12 meter.

Katanya, dua mangsa itu ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

AZFAR MOHAMMAD
AZFAR MOHAMMAD

Dalam pada itu, mayat dua sahabat itu dikeluarkan menggunakan helikopter dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Jenazah Muhammad Shah Faris dan Azfan dihantar pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pandamaran, Klang.