Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 malam, Amin Syahril Ezzry Ibrahim, 14, dan pemboncengnya, Aiman Mustakim Ali, 14, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Nenek Amin Syahril Ezzry Ibrahim, Che Minah Awang, 68, berkata, mereka berdua seperti belangkas ke mana sahaja bersama termasuk untuk ke sekolah.

Menurutnya, dia tidak menyangka sama sekali kedua-dua mereka juga dijemput bersama untuk kembali kepada Allah selamanya.

“Setiap hari mereka akan ke sekolah bersama-sama. Amin Syahril sanggup menghantar adiknya terlebih dahulu ke sekolah kemudian berpatah balik menjemput Aiman Mustaqim untuk ke sekolah bersama-sama dengannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Che Minah memberitahu, se­belum kejadian Amin Syahril sempat menggoreng keropok untuk dimakan bersama dengan sahabat baiknya itu.

Ujarnya, selepas menjamah hidangan keropok itu, Amin Syahril memberitahu dia mahu keluar sekejap bersama Aiman Mustaqim.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan ini merupakan ujian buat kami sekeluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ketika kejadian kedua-dua pelajar itu dari arah Tendong menghala ke Bunut Susu.

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi kedua-dua remaja itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, motosikal itu telah bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira yang dipandu oleh seorang wanita. Kereta Proton Wira itu dari arah Bunut Susu menghala ke Tendong, bagaimanapun pemandu kenderaan tersebut tidak mengalami kecederaan,” katanya.