Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mang­sa yang belum dikenal pasti identiti mereka gagal menyelamatkan diri akibat tersepit apabila kereta yang dinaiki terperosok di bawah lori.

Kereta Proton Wira yang dinaiki mangsa hangus manakala empat lagi kenderaan termasuk dua lori dan sebuah van mengalami kerosakan di bahagian bampar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Mohd. Sham Abdullah berkata, ketika kejadian, kesemua kenderaan menghala ke arah selatan dan dua lorong iaitu tengah dan kanan ditutup oleh pihak lebuh raya bagi kerja mengecat garisan jalan.

“Kejadian berlaku apabila pemandu lori berusia 27 tahun yang memandu di lorong kanan tidak sempat menghentikan kenderaan lalu melanggar bucu kiri sebuah lori lain sebelum mengheret kereta Proton Wira yang dinaiki dua mangsa itu sehingga ke bahu kiri lebuh raya.

“Kereta itu kemudiannya terbakar menyebabkan pemandu dan penumpangnya maut di tempat kejadian manakala pemandu lori melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Sham, berikutan pelanggaran itu, dua buah kendera­an lain termasuk sebuah van yang tidak sempat mengelak turut berlanggar dan mengalami kerosakan di bahagian depan dan belakang.

Tambahnya, setakat pukul 2 petang, pemandu lori terbabit yang tidak mengalami kecederaan belum membuat laporan polis.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Pe­nguasa Bomba negeri, Kushairy Deraman berkata, kerja mengeluarkan mangsa mengambil masa hampir empat jam dengan mangsa pertama iaitu pemandu dapat dikeluarkan pada pukul 3.05 pagi manakala seorang lagi dikeluarkan 20 minit kemudian.

Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.