Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, dua mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohammad Azlan Abdul Hamid, 18, dan Harreild Hellvian Hary, 16.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu, sebelum kejadian, Mohammad Azlan dikatakan sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Limbang dari arah pusat bandar.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, remaja lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 125Z itu kemudian melanggar motosikal Yamaha LC 135 ditunggang Harreild yang dikatakan secara tiba-tiba keluar dari simpang.

“Impak perlanggaran itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal masing-masing dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Tambahnya, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Limbang.

“Siasatan lanjut di lokasi kemalangan mendapati kedua-dua motosikal mangsa rosak teruk.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE