Mangsa, Muhammad Addam Mat Desa dan rakan baiknya, Muhammad Rabbani Zaini ditemukan terapung oleh penduduk kampung yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 5 petang.

Muhammad Addam berasal dari Kampung Titi Tinggi Hilir dekat sini manakala Muhammad Rabbani di Kampung Baru Guar di sini.

Kedua-duanya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi dekat sini.

Difahamkan, kedua-dua mangsa keluar bersama ke tempat berkenaan dengan menaiki motosikal sejak pagi dan dipercayai telah lemas beberapa jam sebelum itu.

Berdasarkan maklumat awal, kolam itu dibina penduduk untuk tujuan pengairan kebun mempelam harumanis yang terletak bersebelahan.

Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, kedua-dua mangsa selalu memancing ikan terutama pada hujung minggu.

Kedua-dua mayat mangsa dibawa keluar dari kolam itu dengan bantuan bomba sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini untuk dibedah siasat.

Ketua Polis daerah, pemangku Superintenden Muhamad Halim Yatim ketika dihubungi  mengesahkan kejadian itu yang disiasat mengikut kes kematian mengejut. - UTUSAN ONLINE