Dalam nahas pada pukul 4.30 pagi itu, mangsa, M. Gogilan, 24, dan A. Agilan, 19, maut di lokasi kejadian manakala pembonceng motosikal Gogilan yang masih belum dikenal pasti identitinya cedera.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kemalangan berlaku ketika kereta dipandu lelaki berusia 39 tahun itu datang dari arah Balai Polis Bercham menghala ke Persiaran Bercham Utara 3 manakala dua buah motosikal itu pula dari arah bertentangan.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal dipandu Gogilan telah masuk ke laluan bertentangan dan pemandu kereta yang cuba mengelak ke kanan telah melanggar motosikal ditunggang Agilan yang juga datang dari arah yang sama.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang pembonceng yang mengalami kecederaan dibawa untuk rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya. - UTUSAN ONLINE