Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan tersebut menyebabkan kedua mangsa maut di tempat kejadian ekoran kecederaan parah.

“Bagi kemalangan pertama di Jalan Tatau-Bintulu, mangsa, Richard Eli Zi Cheng, 15, menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Bintulu menuju ke Tatau telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah treler.

“Kejadian itu berlaku sekitar pukul 9.22 malam tadi menyebabkan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Klinik Kesihatan Tatau sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Bintulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Alexson memberitahu, kemalangan kedua yang berlaku sekitar pukul 11.45 malam di lampu isyarat Jalan Pedada, Sibu pula menyaksikan mangsa, Pattrus Gama Baki, 20, maut manakala pembonceng, Morision Limbie, 17, mengalami cedera parah.

“Siasatan mendapati motosikal mangsa dari arah Jalan Pedada menuju ke bandar Sibu melanggar kereta dari arah Jalan Wong King Huo.

“Menurut saksi di tempat kejadian, mangsa telah melanggar lampu isyarat lalu merempuh kenderaan jenis Toyota Avanza berkenaan,” jelasnya.

Tambahnya, pembonceng yang parah telah dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan mayat mangsa ke bilik mayat hospital sama.

“Kedua-dua kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE