Mangsa yang hilang dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu ialah Amat Muhamad, 50, dan Mohd. Abdul Lattif Kasim, 20.

Mereka dilaporkan hilang selepas bertolak dari Jeti Sungai Puteri, Rompin dan sehingga kini belum ditemukan

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitenden Azli Mohd. Noor berkata, laporan kehilangan mereka dibuat oleh abang seorang mangsa selepas mendapati ahli keluarganya itu tidak tiba di rumah.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula seawal pukul 7 pagi ini membabitkan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Taman Laut Malaysia(JTLM) negeri dengan kekuatan 73 anggota,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, operasi itu turut mendapat kerjasama 24 penduduk Kampung Pulau Tioman dengan menggunakan enam bot.

Katanya, keadaan cuaca cerah namun berubah hujan lebat dan laut bergelora pada tengah hari ini menyukarkan operasi dijalankan. - UTUSAN ONLINE