Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang anggota kumpulan yang berjaya turun di kaki bukit kira-kira pukul 8.46 pagi ini.

Menurutnya, mangsa ialah Hasnawati Sira, 22, dari Lahad Datu, Sabah dan Nur Idayah Jeffendie, 24, dari Tawau, Sabah.

“Difahamkan, seramai 29 pendaki termasuk mangsa telah naik ke gunung itu pada pukul 4 petang semalam sebelum bermalam di puncak gunung berkenaan.

“Kedua-dua mangsa mengalami kekejangan otot dan tidak dapat berjalan untuk turun dari gunung itu.

“Seramai lima anggota termasuk empat anggota polis terpaksa mendaki selama dua jam sebelum menemui kedua-dua mangsa bersama lima lagi ahli kumpulannya di salah satu kem di gunung itu,” katanya di sini hari ini.

Anuar berkata, pendaki wanita terbabit mengalami kekejangan otot dan kesejukan akibat cuaca hujan menyebabkan mereka gagal menuruni gunung berkenaan.

“Anggota kami memberi rawatan awal kepada wanita terbabit sebelum dan membawa mangsa turun ke kaki gunung bersama-sama rakan mereka melalui kaedah memapah serta mendukung mangsa dengan dibantu oleh malim gunung.

“Pada pukul 6.25 petang operasi tamat dan kesemua pendaki berjaya turun ke kaki gunung.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pegawai perubatan untuk mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Lojing,” katanya. - UTUSAN ONLINE