Dalam kejadian pukul 2.50 pagi berhampiran susur keluar plaza tol Jabor, Mohamad Zaiful Azlan Embong, 33 dan Mohamad Nazrul Azfsa Mat Amin , 21 , meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Menurut beliau kedua - dua mangsa yang berasal dari Marang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju ke arah Kuantan.

“ Kejadian berlaku di satu laluan lurus tetapi basah akibat hujan, dan keadaan trafik lengang ketika itu,” katanya.

Menurut beliau, setibanya di tempat kejadian kereta Proton Persona yang dipandu oleh Mohamad Zaiful Azlan hilang kawalan sebelum terbabas ke ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan.

“Akibat perlanggaran, kereta tersebut remuk teruk, dan pemandunya tercampak keluar sejauh beberapa meter manakala rakannya pula tersepit bahagian hadapan penumpang,” katanya.

Menurut beliau, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Cheneh berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit 10 minit kemudian.

“ Kedua - dua mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan ,” katanya.

Tambah beliau, kes akan disiasat dibawah seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan urusan pengebumian. - UTUSAN ONLINE