Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata,  kedua-dua mangsa yang berumur 39 dan tiga tahun itu merupakan pembonceng sebuah motosikal jenis Suzuki.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu sebuah kereta Perodua Kembara dari arah Port Dickson ke Seremban gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar belakang motosikal dinaiki empat orang itu.

"Akibat rempuhan tersebut, seorang wanita yang membonceng motosikal itu cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.

"Penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 47 tahun dan seorang lagi kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun mengalami luka akibat kemalangan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zainudin berkata, pemandu kereta berusia 64 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah  Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE