Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi, mangsa, Muhammad Farid Abdul Aziz, 20, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR bersama rakannya, Muhamad Firdaus Mohd Nor, 19, disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Beliau berkata, motosikal mangsa berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Axia yang telah keluar dari simpang di sebelah kiri.

“Dalam kemalangan tersebut penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat. Polis turut menahan pemandu kereta tersebut yang juga seorang pelajar wanita UiTM Tapah berusia 19 tahun untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE