Tujuh mangsa lain bagaimanapun diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Mari­tim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira pukul 8 malam semalam dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan selepas menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan.

Pengarah Maritim daerah, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, kedua-dua mangsa iaitu Dimas Tampas, 20, dan Moso, 21, hilang selepas kedua-duanya terjun ke laut untuk berenang kembali ke Pulau Gaya bagi mendapatkan bantuan.

“Kesemua nelayan berke­naan menaiki sebuah bot pada pukul 6 pagi Rabu lalu di Pulau Gaya untuk meman­cing berhampiran Pulau Me­ngalum, namun dalam perjalanan, enjin bot tersebut rosak menyebabkan mereka hanyut.

“Berikutan itu, dua mang­sa yang paling muda bertindak terjun untuk berenang ke arah Pulau Gaya tetapi sampai sekarang mereka belum ditemukan, justeru SAR digerakkan untuk mencari mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Maritim Malaysia Kota Kinabalu di sini hari ini.

Menurut Adam, pihaknya dengan bantuan Pasukan Gera­kan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM) me­lancarkan SAR di kawasan seluas 39.6 kilometer dari Pulau Gaya menggunakan aset masing-masing sejak semalam selepas sebuah kapal tunda melaporkan melihat mangsa hanyut di laut.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Nordin Majuki, 58, berkata, selepas enjin bot rosak, mereka gagal me­lakukan apa-apa kerana tidak mempunyai alat komunikasi bagi mendapatkan bantuan dan disebabkan itu, dua rakan mereka mengambil keputusan untuk berenang ke Pulau Gaya.

“Bot itu hanyut dan kami terpaksa menunggu sahaja sehingga ada kapal yang lalu dan melambai-lambai ke arah mereka sebagai isyarat kecemasan, mujurlah usaha kami itu berjaya.

“Saya harap dua rakan kami itu selamat berenang kembali ke Pulau Gaya atau ditemukan oleh pasukan SAR dalam keadaan baik," katanya.

Kata Nordin, pengalaman berada di laut selama lebih 10 jam sebelum diselamatkan amat menakutkan, namun mereka berjaya melaluinya dengan sedikit bekalan makanan yang ada.