Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, pemandu van berusia 38 tahun dan penumpang wanita berumur 57 tahun dalam perjalanan ke pekan Semenyih untuk berniaga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.

Difahamkan, kemalangan berpunca daripada lori dipandu lelaki tempatan berusia 59 tahun yang hilang kawalan akibat mengalami masalah brek ketika menuruni bukit di lokasi kejadian sehingga merempuh van mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd. Yussof berkata, akibat rempuhan itu van berkenaan terjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter.

“Penumpang van itu dipercayai tercampak keluar dan pemandu van pula terjatuh di dalam gaung. Pemandu lori berkenaan terselamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Dzaffir, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan secara melulu dan menyebabkan kematian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn, PPgB Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.35 petang.

“Seorang pegawai dan tiga anggota dari Balai Bomba Bandar Tun Hussein Onn diarahkan ke lokasi kejadian dengan dibantu oleh dua anggota Bomba Sukarela Hulu Langat.

“Setibanya di lokasi, mereka mengesan kedudukan mayat kedua-dua mangsa dan membawa mereka naik ke tebing menggunakan stretcher.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ampang untuk bedah siasat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE