Memetik laporan Strait Times Singapura, seorang pemandu trailer berusia 30 tahun itu ditahan kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Turut ditahan seorang pemandu lori berusia 23 tahun yang cedera dalam kemalangan itu.

Sebuah video yang tular dalam media sosial mengenai kemala­ngan itu memaparkan sebuah lori menggunakan plat pendaftaran Malaysia terbabas di lorong bersebelahan lalu merempuh sebuah motosikal yang juga menggunakan plat pendaftaran Malaysia.

Menurut portal tersebut yang memetik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), pihak­nya menerima laporan kemala­ngan di tambak itu pada pukul 1 pagi dan tiga ambulans serta sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian.

Kata SCDF, pasukan paramedik menyatakan seorang lelaki berusia 21 tahun maut dalam kejadian itu.

Menurut jurucakap polis Singapura, tiga lelaki iaitu pemandu lori, 23, dua penunggang motosikal masing-masing berusia 37 dan 42 tahun mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun penunggang motosikal berusia 42 tahun me­ninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya,” kata jurucakap itu.

Menurut SCDF, lelaki keempat yang terlibat dalam kemalangan itu hanya mengalami kecederaan ringan.

“Operasi di pusat pemeriksaan Woodlands telah beroperasi seperti biasa,” menurut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) dalam Facebook milik agensi itu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais ketika dihubungi Bernama mengesahkan kemalangan itu dan setakat ini tiada maklumat berkaitan melibatkan rakyat Malaysia.