Dalam kejadian pertama, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinang Tunggal, Muhammad Amirul Ahmad, 14, meninggal dunia di tempat kejadian setelah motosikal ditunggangnya bertembung dengan van di Kampung Seberang Tok Soh, di sini.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 1.30 petang semasa mangsa dan rakannya, Mohammad Amjab Yusof, 13, yang membonceng dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Kampung Pantai Prai.

Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di Kampung Tok Soh, Muhammad Amirul dikatakan tidak dapat mengawal motosikalnya dan terus merempuh sebuah van membawa barang dari arah Sidam menuju ke Sungai Petani.

Mohamad Amjab yang cedera parah di bahagian kepala kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani akibat cedera parah.

Pemandu van yang berusia 40-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1989.

Dalam satu lagi kejadian, seorang pemandu sebuah kereta Proton Wira, Mohamad Yusdi Musof, 41, meninggal dunia setelah kereta dipandunya terbabas dan merempuh belakang sebuah kereta di Bandar Puteri Jaya (BPJ) Jalan Kuala Ketil di sini.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 2 petang semasa Mohamad Yusdi dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Puteri Jaya selepas selesai membaharui lesen memandu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Ketil, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Ariffin berkata, jenazah kedua mangsa telah dituntut oleh keluarganya untuk urusan pengkebumian selepas selesai bedah siasat di HSAH. - UTUSAN ONLINE