Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ialah lori, van, kereta jenis Perodua Alza serta Myvi dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Kejadian kira-kira pukul 4.25 petang itu, mengakibatkan pemandu van Adenan Pa’ Adek, 41, dan seorang warga Thailand, Abdollah Dollah, 34, yang juga penumpang kenderaan tersebut maut serta merta akibat kecederaan parah.

Kemalangan itu dikatakan berlaku apabila sebuah lori dari arah Gelang Mas menghala ke Bunut Susu telah hilang kawalan akibat permukaan jalan licin ekoran hujan lebat.

Kenderaan yang dipandu Adenan kemudiannya telah merempuh lori tersebut menyebabkan dua buah kereta dan pacuan empat roda telah melanggar bahagian belakang van berkenaan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE