Mereka yang maut merupakan penumpang kenderaan tersebut iaitu Abdul Rahim Yahaya, 52, dan K. Puventhiran, 24, manakala pemandunya yang dikenali sebagai A. Victor Raj, 25, dilaporkan tiada di tempat kejadian ketika pasukan penyelamat tiba.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Toyota Avanza yang datang dari arah pusat bandar menuju ke Bayan Lepas itu terbabas secara tiba-tiba ke bahagian kiri lebuh raya tersebut.

Katanya, kereta itu kemudian melanggar besi penghadang lebuh raya berkenaan sebelum besi tersebut menembusi bahagian hadapan kenderaan terbabit dan tertusuk hingga ke bahagian dalam.

"Akibat daripada kemalangan itu, kedua-dua mangsa yang cedera parah disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Zaimani memberitahu, pemandu Toyota Avanza itu dipercayai telah dihantar ke hospital oleh sepupunya yang datang ke tempat kejadian lebih awal.

"Butiran pemandu itu diperoleh melalui kad pengenalan yang diserahkan oleh sepupunya dan ketika ini, pegawai penyiasat sedang mengesan lokasi hospital di mana lelaki tersebut dirawat," ujar beliau.

Tambahnya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN ONLINE