Akibat kemalangan berkenaan yang berlaku pada pukul 6.30 pagi, mangsa, Goh Chin Kooi ,53, yang bekerja sendiri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafee Abd. Samad berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang Chin Kooi turut diseret sejauh 150 meter masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, rempuhan berkenaan menyebabkan motosikal mangsa rosak teruk manakala pemandu kereta yang merupakan seorang wanita berusia 52 tahun tidak mengalami kecederaan namun bahagian hadapan kereta jenis Toyota Corolla juga mengalami kerosakan serius.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk prose bedah siasat.

“Kawasan berkenaan tiada kamera litar tertutup dan polis kini sedang mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, seorang peniaga, Mohd. Faizulnizam Mohd. Noor dari Tanjung Piandang, Perak turut maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 157.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini pada pukul 11.25 pagi tadi.

Katanya, kejadian berlaku apabila mangsa yang memandu kereta jenis Honda Stream dari arah Sungai Jawi ke Bukit Mertajam hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan.

“Kereta mangsa kemudian berpusing dan terbalik di bahu kiri jalan dan merempuh pula sebuah motosikal. Pengadang besi berkenaan tercabut dan mengenai sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan," katanya.

Katanya, kemalangan berkenaan menyebabkan Mohd. Faizulnizam tersepit dan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan serius pada bahagian dada. - UTUSAN ONLINE