Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu ialah Liew Kwong Fai, 42, yang memandu kereta jenis Nissan Almera dan pemandu kereta Proton Iswara, Hairol Asyraf Mohammad, 23.

Kedua-dua mereka yang cedera di bahagian kepala dan dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penumpang hadapan kereta Proton Iswara, Sufi Salihin Mohd. Puad Norasid, 17, pula cedera di bahagian perut dan kepala manakala seorang lagi rakannya yang duduk di bahagian kerusi penumpang belakang, N. Kesavan, 18, mengalami luka di bahagian muka serta kaki sebelah kanan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kemalangan berlaku ketika Kwong Fai memandu seorang diri dari arah Kuala Lumpur menghala ke Mentakab.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Kwong Fai dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Iswara yang dinaiki Hairol Asyraf bersama dua penumpang.

“Kedua-dua pemandu kenderaan itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua penumpang kereta Proton Iswara dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE