Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi, kereta jenis Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun merempuh belakang motosikal Honda EX5 yang ditunggang Muhamad Rozaidi Jamaludin, 26, bersama pemboncengnya Siti Suhaila Maulat Mohamad Sid, 21, menyebabkan mereka maut di tempat kejadian .

Rempuhan kuat itu juga menyebabkan penunggang sebuah lagi motosikal jenis sama, Abdul Rahman Abdul Hamid, 26, dan rakannya, Muhammad Nur Daniel Mohamad Iqbal, 16, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintenden Shafee Abdul Samad berkata, ketika kejadian kesemua kenderaan itu dari arah Nibong Tebal menghala ke Sungai Jawi.

“Kejadian itu berlaku di laluan lurus namun gelap kerana tiada lampu jalan dan dipercayai berpunca daripada kereta Proton Persona yang dipandu laju dan gagal dikawal sebelum merempuh dua motosikal di hadapannya.

“Muhamad Rozaidi yang berasal dari Bagan Buaya dekat Changkat dan Siti Suhaila dari Parit Buntar, Perak mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk dibedah siasat dan Abdul Rahman serta Muhammad Nur Daniel turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, pihak polis telah menahan pemandu kereta itu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE