Mangsa yang maut ialah Mohd. Faisal Pauzi, 31, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban dan Mohd. Zariff Che Zukri, 25. Kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua yang parah ialah adik Faisal yang juga anggota polis di IPK Kuantan, Muhamad Amin, 25, dan Nik Muhammad Arif Nik Musa, 24.

Seorang lagi adik, Mohd. Faizal, Muhammad Amirun, 17, cedera.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Dzulkifli Ab. Ghani berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Kelisa dipandu Mohd Zariff dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Kenderaan itu bertembung dengan kereta jenis Perodua Viva dinaiki tiga beradik yang dipandu Muhammad Amin. Dua mangsa yang maut ialah pemandu Perodua Kelisa dan penumpang hadapan Perodua Viva,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE