Kedua-dua mangsa lelaki warganegara China itu ditemukan di bilik enjin kapal berkenaan dalam keadaan lemah dan terapung ketika penyelam memasuki ruang berkenaan.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof berkata, keadaan kedua-dua mangsa kini stabil namun agak lemah kerana terlalu lama berendam dalam air.

“Mangsa pertama ditemukan kira-kira pukul 2 petang dan dibawa naik untuk menerima rawatan awal di atas kapal sebelum dihantar ke darat untuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

“Mangsa kedua pula berjaya dibawa keluar kira-kira setengah jam kemudian dari ruang yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Operasi SAR, sebentar tadi.

Tambah Sanifah, usaha menyelamat baki 12 lagi mangsa termasuk seorang krew warga tempatan sedang dipertingkatkan dan pihaknya percaya kesemua mereka masih berada dalam kapal.

Setakat ini, lima kru warga China ditemukan selamat, manakala seorang lemas selepas kapal yang membawa 18 kru terbalik di kedudukan 15.8 kilometer kira-kira pukul 8 pagi, kelmarin. - UTUSAN ONLINE