Empat kenderaan lain ialah sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso, trak tunda, Proton Satria dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.10 pagi.

“Ketika kejadian, dua kereta polis sedang mengawal lalu lintas akibat kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan.

“10 minit selepas itu, sebuah lori dari arah ibu negara menghala ke Subang Jaya telah melanggar sebuah kereta polis dari arah belakang menyebabkan kereta itu berpusing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Zani, akibat pelanggaran itu, kenderaan polis telah diseret sebelum melanggar trak tunda yang ingin menunda Nissan Navara.

Jelasnya, tiada mangsa yang cedera akibat kemalangan tersebut.

“Kita telah mengambil keterangan pemandu lori dan ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori berusia 26 tahun itu negatif dadah,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa. - UTUSAN ONLINE