Kejadian pertama melibat stor simpanan sebuah kilang di Taman Wahyu, Jalan Ipoh pada pukul 4 petang dan sebuah bangunan lama di Jalan Tun H.S. Lee bersebelahan Bank RHB yang terbakar pada pukul 10 malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, dalam kebakaran di Taman Wahyu, api dilaporkan berjaya dipadamkan dalam tempoh 1 jam 32 minit oleh empat pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, Setapak, Gombak Selatan dan Hang Tuah.

Menurutnya, dalam satu kejadian lain, kebakaran itu melibatkan dua unit bangunan lama tiga tingkat yang menempatkan barang pembinaan.

“Api berjaya dipadam dalam tempoh kira-kira 1 jam 04 minit oleh empat pasukan bomba dari BBP Hang Tuah, Pudu, Sentul dan Pasukan Bomba Sukarelawan Bukit Bintang.

“Dalam dua kejadian ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi dalam satu kenyataan, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE